Salam sejahtera buat semua..bagi post kali ini,saya telah masukkan artikel tentang
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.
"Dasar ini yang juga kesinambungan daripada inisiatif Sekolah Bestari sebelum ini menekankan penggunaan teknologi sebagai wahana untuk menggalakkan perkembangan daya kreativiti, pembelajaran secara bekerjasama, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.
"Dasar ini akan menggabung dan menyelaraskan semua inisiatif ICT sedia ada seperti SchoolNet, Makmal Komputer, EduWebTV, Pusat Akses dan apa jua inisiatif ICT yang akan dilaksanakan pada masa hadapan dengan tujuan meningkatkan pencapaian murid," katanya ketika melancarkan dasar itu di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, dasar itu akan menjadikan amalan di negara maju sebagai penanda aras untuk memastikan segala komponen ICT dalam pendidikan di negara ini mampu mencapai taraf piawaian antarabangsa.
Katanya, dengan menjadikan dasar itu sebagai rujukan dan panduan, pelaksanaan semua program ICT di kementerian akan menjurus kepada sasaran yang sama iaitu mempertingkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap murid mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.
"Dengan pengenalan dasar ini juga, sebarang inisiatif ICT di bawah kementerian tidak lagi akan dilaksanakan secara terpisah daripada inisiatif lain, sekaligus akan dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan penjimatan sumber," katanya.
Empat asas utama menjadi teras dasar itu, iaitu pembangunan modal insan secara berterusan, penggunaan teknologi yang sesuai bagi mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan pendidikan menggunakan ICT.
"Saya amat berharap agar dasar ini mampu membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan negara dan seterusnya melonjakkan kualiti pendidikan bertepatan dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bakal memacu usaha mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya. - sumber daripada BERNAMA(Berita harian 12/10/10)
hmm..besar harapan TPM agar dasar tersebut dapat membawa perubahan dalam sistem pendidikan di Malaysia ini..Namun,mampukah ianya dijayakan dengan segala bentuk cabaran generasi masa kini???harap para pembaca dapat berkongsi pandangan disini..sekian.